KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedang membangunkan sistem ramalan laut dalam bentuk aplikasi bagi memudahkan penggunaannya dalam kalangan orang awam, kata Naib Canselornya, Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar.
Beliau berkata, Sistem Ramalan Marin Malaysia (MFAST) yang mula dibangunkan tiga tahun lalu adalah sistem operasi marin nasional pertama yang menawarkan ramalan lima hari bagi data arus, gelombang dan suhu lautan untuk kegunaan semua sektor termasuk rekreasi, pelancongan, perikanan, penyelamatan, perkapalan serta industri minyak dan gas.
Katanya, sistem ramalan tersebut jauh lebih tepat berbanding menggunakan satelit seperti kaji cuaca kerana data atau maklumat yang diperoleh dari lautan menggunakan boya adalah secara ‘in situ’ atau keadaan semasa pada waktu itu.
“Terdapat banyak model atau sistem ramalan cuaca yang digunakan di dunia, tetapi kebanyakannya dibuat secara global dan berskala besar oleh negara maju seperti Amerika Syarikat.
“Jadi ketepatan untuk digunakan di Malaysia tidak sebaik berbanding MFAST yang data-data sebenar datangnya dari kawasan kita sendiri. Ini akan meningkatkan lagi ketepatan sistem ramalan tersebut,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Bagi pembangunan aplikasi tersebut yang dijangka siap tahun depan, menurut Mazlan, pihaknya bekerjasama dengan pakar dalam bidang teknologi maklumat (IT) bagi menghasilkan visualisasi dan simulasi yang lebih interaktif serta mudah difahami pengguna.
Beliau berkata, cabaran utama adalah untuk memindahkan data ke bentuk aplikasi yang boleh dibaca dengan mudah oleh orang awam sekali gus membolehkan mereka bertindak lebih cepat ketika bencana.
“Pakar IT sedang memperkemaskan sistem untuk menghasilkan visualisasi yang mudah diterima semua kerana kita mahu aplikasi itu lebih interaktif dan cepat,” katanya.
Disyorkan artikel ini:
Krisis air: Terengganu siasat korek pasir punca paip bocor
Banjir kilat di Kuala Nerus, 25 mangsa dipindahkan
Kuala Terengganu, Kuala Nerus kembali alami gangguan bekalan air
Dalam pada itu, Mazlan berkata, UMT juga telah melaksanakan program ‘Engaging Public With Ocean Forecasting System’ bagi memberi pengetahuan berkaitan sistem ramalan laut kepada orang awam.
“Amat penting untuk kita mendidik masyarakat tentang bagaimana untuk memahami maklumat atau peta yang dipaparkan di mana-mana sistem ramalan kaji cuaca bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana,” katanya. – Bernama
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/179963/EDISI/UMT-bangun-aplikasi-sistem-ramalan-laut
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf