Peneluran batu karang, merupakan salah satu proses asas untuk mengekalkan dan meningkatkan populasi terumbu karang. Tidak seperti kebanyakan haiwan yang lain, larva batu karang terhasil diluar daripada badan induk. Untuk memastikan keberjayaan persenyawaan jutaan telur dan sperma, batu karang menggunakan isyarat-isyarat persekitaran seperti cahaya bulan, suhu air laut, dan pasang surut untuk berkomunikasi di antara spesies mereka untuk peneluran berlaku secara sinkroni. Walau bagaimanapun, fenomena ini boleh terganggu oleh aktiviti antropogenik yang menyebabkan pencemaran, kemusnahan fizikal, exploitasi berleluasa pada sekitaran marin, dan juga impak dari perubahan iklim. Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita manusia memelihara keaslian persekitaran untuk kelestarian ekosistem terumbu karang kita yang tidak ternilai.